Keruntuhan jambatan terminal feri Sultan Abdul Halim

Keruntuhan jambatan terminal feri Sultan Abdul Halim
Tarikh31 Julai 1988; 36 tahun yang lalu (1988-07-31)
Masa4:40 petang WPM
LokasiButterworth, Pulau Pinang, Malaysia
Koordinat5°23′41″N 100°21′51″E / 5.3947°N 100.3641°E / 5.3947; 100.3641Koordinat: 5°23′41″N 100°21′51″E / 5.3947°N 100.3641°E / 5.3947; 100.3641
PenyebabKegagalan struktur konkrit, muatan berat
Kematian32
Kecederaan1,543[a]

Keruntuhan jambatan terminal feri Sultan Abdul Halim ialah kejadian runtuhan jambatan yang berlaku pada petang 31 Julai 1988 di Butterworth, Pulau Pinang.[3] Seramai 32 orang maut dan 1,634 lagi cedera apabila Pangkalan Sultan Abdul Halim telah runtuh akibat jumlah muatan yang berlebihan. Kesesakan lalu lintas yang teruk di pangkalan itu kerana terdapat dua perayaan serentak yang melibatkan kaum Cina, menjadi penyumbang kepada kejadian.[4]

Menteri Pengangkutan Ling Liong Sik berjanji akan mengadakan siasatan penuh dan terbuka untuk menentukan puncanya, dengan Ketua Menteri Lim Chong Eu berjanji untuk membantu mangsa melalui tabung kebajikan.[5] Kejadian itu ialah salah satu daripada tiga rentetan bencana dalam dekad 1980-an semasa pentadbiran Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat, dua lagi ialah pencemaran radioaktif Bukit Merah 1982 dan kebakaran Madrasah Kedah 1989.

Runtuhan

Dua perayaan serentak

Dok feri Pulau Pinang di terminal feri Butterworth. Bahagian yang runtuh ialah di belakang feri.

Pada Ahad, 31 Julai 1988,[6][7] Pangkalan Sultan Abdul Halim telah runtuh pada jam 4.40 petang akibat jumlah muatan yang berlebihan.[8][9] Terminal feri tersebut dilaporkan sesak sejak awal pagi akibat kemasukan ribuan pengunjung yang ingin menyeberang ke Pulau Pinang.[3][4]

Kejadian ini berpunca daripada kesesakan teruk di Pangkalan Sultan Abdul Halim yang menampung sekitar 10,000 orang.[3][4] Terdapat dua perayaan serentak melibatkan kaum Cina iaitu Pesta Dewi Kwan Yin di Georgetown dan sambutan ulang tahun Gereja St Anne di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Perarakan kereta berhias diadakan di Padang Kota Lama dan di Padang Kota Baru serta melalui jalan-jalan utama di bandar Georgetown. Patung-patung puteri dewi ini diarak di sepanjang jalan berlampu warna-warni di tengah-tengah bandar raya pada hari malam Ahad, 31 Julai 1988. Penganut agama Buddha dari kalangan kaum Cina yang dijemput untuk hadir kerana ia diadakan setiap 60 tahun sekali saja mengikut kalendar China (sekali dalam jangka masa seumur hidup) dan perayaan ini dipercayai membawa tuah kerana Kwan Yin bermaksud 'Dewi Pemurah'. Pelancong dari Singapura, Hong Kong dan Taiwan juga turut serta ketika itu.[3][4][8]

Gereja St Anne di Bukit Mertajam juga mengadakan pesta besar-besaran sempena ulang tahunnya. Ramai kaum Cina menganut agama Kristian berdoa di gereja ini pada pagi Ahad dan petangnya mereka bergerak ke Pulau Pinang untuk melancong dan melakukan upacara keagamaan Buddha.[3]

Kesesakan

Kebiasaan pada hujung minggu, ramai yang memilih ke pulau untuk menikmati keindahan selat Butterworth, menikmati keindahan matahari merah terbenam dan seterusnya berjalan kaki ke Padang Kota. Disebabkan itu, Jambatan Pulau Pinang yang dibuka pada 1985 itu tidak dapat menampung terlalu banyak kenderaan awam.[3]

Pangkalan Sultan Abdul Halim dibina pada 1956 tidak mampu menampung 'serbuan' 10,000 penumpang. Tiangnya daripada besi konkrit sementara lantai daripada papan tebal.[8] Gelegar lantai, pagar dan dinding daripada besi tumpat, melintasi ruang laluan kereta di sebelah bawah. Pangkalan ini ada dua tingkat. Tingkat bawah untuk laluan kenderaan yang keluar dan masuk. Tingkat atas pula untuk laluan penumpang dari Stesen bas Butterwoth - keluar dan masuk. Jam 4.40 petang itu, gelegar besi jambatan terminal bengkok dan patah. Lantai-lantai papan turut roboh. Dinding besi dan bumbung roboh ke bawah. Penumpang bahagian atas menggelongsor dan terhimpit oleh tiang dan pelantar papan. Kenderaan di bawah remuk.[3][8]

Mangsa

Seramai 32 orang maut dalam insiden ini dan pada masa yang sama mencederakan 1,543 orang.[3] Mangsa dibawa ke Hospital Butterworth, Hospital Bukit Mertajam dan lain-lain. Pasukan Bomba bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa. Laluan sebelah kiri itu terhenti seluruhnya. Tetapi laluan sebelah kanan masih boleh beroperasi membawa penumpang ke pulau dan sebaliknya. Runtuhan ini dibiarkan begitu sahaja buat beberapa lama untuk siasatan dan rancangan pembesaran.[3]

Operasi menyelamat

Operasi menyelamat telah dijalankan bagi mencari dan menyelamat mangsa tragedi ini. Pekerja penyelamat pada hari kedua kejadian menamatkan pencarian mereka terhadap mayat dalam timbunan logam berpintal dan serpihan dari jeti yang runtuh di bandar pelabuhan barat laut Butterworth.[10] Angka kematian akibat insiden ini berjumlah 31 orang,[11] tetapi seorang daripada lebih 800 orang yang cedera kemudian meninggal dunia di hospital. Sekurang-kurangnya 100 daripada 413 orang yang dimasukkan ke hospital berada dalam keadaan kritikal dan berkata angka kematian mungkin meningkat. 419 orang lagi telah dirawat dan dibenarkan keluar.[12]

Siasatan dan kesan tragedi

Pada malam kejadian itu, Menteri Pengangkutan ketika itu, Ling Liong Sik berkata, siasatan penuh dan terbuka untuk menentukan puncanya dengan mendiang bekas Ketua Menteri, Lim Chong Eu berjanji untuk membantu mangsa melalui tabung kebajikan. Jawatankuasa Mangsa Tragedi Jeti telah ditubuhkan untuk mengendalikan tujuan liabiliti undang-undang dengan penasihat undang-undangnya K. Balasundaram berkata tuntutan pampasan lebih 900 mangsa yang diwakili jawatankuasa itu berjumlah RM7 juta.[4]

Akibat daripada kejadian tersebut, pada 3 Ogos 1988, Perdana Menteri, Mahathir Mohamad berkata satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat punca keruntuhan terminal jeti tersebut. Selepas siasatan rapi dijalankan, badan kerajaan tersebut mendapati sistem yang diguna pakai Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) tidak berkesan untuk mengawal jumlah orang yang terlalu ramai sehingga mencetuskan kesesakan yang luar biasa di dalam pangkalan terbabit.[10]

Pada 14 Ogos, Ling mengumumkan pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Chang Min Tat sebagai pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung nahas jeti, bekas hakim Mahkamah Agung Syed Agil Syed Hassan Barakbah sebagai pesuruhjaya dan penasihat undang-undang kementerian, Yaacob Mohamed Sam sebagai setiausaha.[4][13]

Selepas mendengar keterangan daripada 99 orang, RCI telah menamatkan pendengarannya pada 31 Mei 1989. Sebanyak 102 bahan pamer telah diterima masuk, termasuk bahan yang ditemui dari lokasi tragedi. Pada 21 September 1989, laporan RCI setebal 200 muka surat,[14] yang didedahkan kepada umum, mendapati PPC cuai.[4][13] Laporan itu menyimpulkan bahawa kelebihan muatan penumpang di kawasan menunggu terminal menyebabkan platform runtuh dan jabatan operasi PPC telah mengaku tidak mengetahui jumlah maksimum penumpang yang dibenarkan di sana. Ia berkata pengurus feri sepatutnya mengetahui batasan dek atas dan tugas untuk menjangka muatan penumpang terletak tepat pada operasi.[4][13] Selepas kejadian itu, PPC membuat kajian terhadap kesesuaian dan kecekapan penggunaan feri antara Butterworth dengan Pangkalan Raja Tun Uda di sebelah Pulau Pinang. Penumpang bas ekspres tidak sahaja diturunkan di Stesen Bas Butterwoth tetapi juga dipindahkan di Sungai Dua dan Gelugor.

Pada masa kini, perkhidmatan feri semakin tidak cekap dan lewat menyebabkan penumpang terpaksa beratur panjang. Hanya pelancong dan pengunjung akan menggunakan feri tersebut. Pekerja yang berulang alik menyeberangi selat lebih memilih Jambatan Pulau Pinang. Pangkalan Sultan Abdul Halim dibina semula dengan beberapa pengubahsuaian.[15]

Dalam budaya masyhur

Pada 11 April 2015 dan 2 Ogos 2015, Program TV3, Detik Tragik telah menayangkan sebuah episod mengenai tragedi berkenaan.[16]

Lihat juga

Catatan dan rujukan

Catatan

  1. ^ New Straits Times pada tahun 2014 menyatakan yang seramai 1,000 orang cedera,[1] manakala Aliran pada tahun 2021 pula menyatakan seramai 1,634 orang mengalami kecederaan dalam kejadian itu.[2]

Rujukan

  1. ^ Marina Emmanuel (14 September 2014). "Rising above tragedies, together". New Straits Times. Dicapai pada 20 Ogos 2021.
  2. ^ Mustafa K. Anuar (6 Januari 2021). "Speedboats no replacement for Penang heritage". Aliran. Dicapai pada 20 Ogos 2021.
  3. ^ a b c d e f g h i "Tragedi 31 Julai 1988, runtuhnya terminal feri Pulau Pinang". UtusanTV. 29 Disember 2020. Dicapai pada 20 Ogos 2021.
  4. ^ a b c d e f g h "The day the jetty platform collapsed and killed 32". The Star Online. 1 Ogos 2022. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Ogos 2022. Dicapai pada 18 Ogos 2022.
  5. ^ "Jetty collapse kills at least 31 people". United Press International. 31 Julai 1988. Dicapai pada 20 Ogos 2021.
  6. ^ "Tragedi platform runtuh di Pangkalan [Sultan] Abdul Halim". Utusan Malaysia. 1 Ogos 1988. m/s. 1.
  7. ^ "Platform Pangkalan Sultan Abdul Halim runtuh". Berita Harian. 1 Ogos 1988. m/s. 1.
  8. ^ a b c d Tara Thiagarajan (30 Julai 2018). "The Tragic Collapse Of A Bridge in 1988 That Injured Thousands in Penang". World of Buzz. Dicapai pada 20 Ogos 2021.
  9. ^ Lo Tern Chern (31 Julai 2017). "Still traumatised after 29 years". The Star Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 September 2021. Dicapai pada 20 Ogos 2021.
  10. ^ a b Susan Robinson (1 Ogos 1988). "Authorities wrap up search for jetty collapse victims". United Press International. Dicapai pada 20 Ogos 2021.
  11. ^ "Pier horror". The Star. 1 Ogos 1988. m/s. 1. 31 dead and 400 hurt as platform collapses.
  12. ^ Susan Robinson (1 Ogos 1988). "Officials blamed overcrowding by people on their way to..." United Press International. Dicapai pada 20 Ogos 2021.
  13. ^ a b c Paul Gabriel (4 Disember 2021). "Flashback #Star50: Jetty collapse deaths a harsh lesson in human negligence". The Star Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Oktober 2022. Dicapai pada 20 Ogos 2021.
  14. ^ Paul Gabriel (1 Jun 1989). "Commission ends inquiry into Butterworth jetty tragedy". The Star. m/s. 9.
  15. ^ Audrey Dermawan (20 Ogos 2020). "NST175: 'It was like an earthquake'". New Straits Times. Dicapai pada 20 Ogos 2021.
  16. ^ "Detik Tragik' - Paparan Eksklusif Tragedi & Bencana Di Malaysia". Tonton Extra. 12 Mei 2015. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-06-02. Dicapai pada 2016-05-05.

Bibliografi

  • Rozlan Ishak, Alias Aziz, Norlen Mohamed (2004). DISASTER MANAGEMENT PLAN FOR THE STATE OF PENANG (PDF file). Retrieved 17 February 2005. (Note: the link to document is not available now.)
  • The only one picture is available on Malaysia Fire and Rescue Volunteers's website. [1]
  • Special report from Kwang Wah Jit Poh that included some pictures. (with Google translator) [2]
  • Tragic Disasters in Malaysia by Fire and Rescue Volunteers, Malaysia
  • l
  • b
  • s
Bencana kesihatan
Pencemaran udara
Jerebu
Pencemaran radioaktif
Penyakit dan wabak
Pencemaran tanah
Isu air
Pencemaran air
Kekurangan air
Bencana alam
Gempa bumi
Banjir
Tanah runtuh
Puting beliung
Ribut taufan
Tsunami
Kebakaran dan letupan
Pengangkutan